Militan rancang serang ibu negara - Ketua Polis Negara

DUA individu yang disyaki anggota militan ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM semalam.
KUALA LUMPUR - Berikut kenyataan penuh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung tangkapan 17 militan yang disyaki mempunyai kaitan dengan militan Islam di Syria:
PADA 5 April 2015, Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas telah melancarkan operasi khas di Sekitar Kuala Lumpur dan Kedah ke atas sel anggota kumpulan pengganas yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas Islami State (IS). 
Seramai 17 orang saspek yang berusia antara 14 hingga 49 tahun telah ditangkap ketika sedang mengadakan pertemuan sulit bagi merancang untuk melancarkan serangan di sekitar Lembah Klang, rancangan mereka melibatkan penculikan ke atas orang-orang kenamaan, serangan ke atas lokasi-lokasi strategik di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Anggota kanan sel pengganas ini yang berusia 49 tahun berasal dari Kedah, merupakan bekas anggota kanan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) yang ditangkap pada Jun 2001 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) 1960. 
Beliau pernah menjalani latihan di Afghanistan pada Jun 1989 dan Sulawesi pada November 2000. Saspek juga terlibat dalam rancangan untuk merompak senjata api di Balai Polis Guar Cempedak pada Februari 2001. 
Saspek berlepas ke Syria pada Ogos 2014 untuk menjalani latihan ketenteraan dan kembali ke Malaysia pada Disember 2014. 
Seorang lagi adalah guru agama berusia 38 tahun berasal dari Kedah yang berlepas ke Syria pada September 2014 untuk menyertai kumpulan pengganas IS dan kembali ke Malaysia pada Disember 2014. 
Matlamat kumpulan pengganas baru ini adalah untuk menubuhkan Negara Islam Ala-Islamic State di Malaysia.
Turut ditahan adalah dua anggota tentera, seorang pengawal keselamatan yang mempunyai akses kepada senjata api dan seorang anggota militan dari Indonesia yang merupakan bekas anggota kumpulan Jemaah Islamiah dan mahir mengendalikan senjata api. 
Anggota-anggota sel ini juga merancang untuk merompak bank bagi mendapatkan dana jihad dan merompak kem tentera dan balai polis bagi mendapatkan senjata serta telah merancang mendapatkan bekalan dari sebuah kumpulan pengganas yang bergerak di negara jiran.
Dengan tangkapan terbaru ini, jumlah rakyat Malaysia yang ditangkap oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas kerana disyaki terlibat dalam aktiviti militan di Syria adalah 92 saspek sejak operasi pertama dilancarkan pada Februari 2013.
Kesemua mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747)
TAN SRI DATO’ SRI KHALID BIN ABU BAKAR
KETUA POLIS NEGARA
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment