Piala FA: Pantai Timur kuasai separuh akhir

PANTAI Timur kuasai Piala FA selepas Terengganu, Kelantan dan Pahang layak ke separuh akhir kejuaraan itu tahun ini.
KUALA LUMPUR - Juara bertahan Pahang melengkapkan tiga wakil Pantai Timur beraksi di separuh akhir Piala FA selepas menyingkirkan Pulau Pinang pada aksi kedua peringkat suku akhir malam tadi manakala Lions XII turut mara dengan mengetepikan Johor Darul Takzim II (JDTII).

Pahang yang menang 2-0 ke atas Pulau Pinang pada aksi pertama di Stadium Darul Makmur, 7 April lepas terikat 2-2 pada aksi timbal balik di Stadium Bandaraya, malam ini.

Dua gol Pahang dijaringkan oleh penyerang import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme pada minit keenam dan ke-10 sebelum Hilton Mauro Moreira menyamakan kedudukan untuk Pulau Pinang pada minit ke-77 dan 87.

Keputusan itu, bagaimanapun tidak menghalang skuad Tok Gajah untuk mara ke separuh akhir menerusi agregat 4-2.

Lions XII pula mengalahkan pasukan Liga Perdana, JDT II 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu untuk mara dengan agregat 4-0.

Pada aksi pertama di \Stadium Jalan Besar, 8 April lepas, Lions XII menang dengan 2-0.

Pada aksi di Johor Baharu itu, Muhammad Khairul Nizam Mohammad Kamal meledak gol pertama Lions XII setelah menanduk masuk hantaran daripada abangnya, Muhammad Khairul Amri pada minit ke-19 sebelum Muhammad Nazrul Ahmad Nazari mengesahkan tiket ke separuh akhir menerusi gol kedua pada minit ke-64.

Pahang akan berdepan dengan Kelantan di separuh akhir yang dijalankan secara timbal-balik manakala sebuah pasukan Pantai Timur lagi, Terengganu berdepan dengan wakil Singapura itu. - MPM
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment