PRK Rompin: Pertembungan satu lawan satu

CALON BN, Datuk Hasan Arifin (kanan) dan calon PAS, Nazri Ahmad selepas pencalonan mereka diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

ROMPIN - Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin pada 5 Mei ini bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Selepas tamat tempoh penamaan calon yang diadakan di sini hari ini, hanya kedua-dua calon berkenaan tampil bersama penyokong dan pencadang masing-masing untuk menyerahkan borang pencalonan mereka.

BN akan diwakili oleh Pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin, Datuk Hasan Arifin manakala PAS pula diwakili oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang, Nazri Ahmad.

PRK Rompin diadakan selepas kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis yang meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sungai Lalang, Semenyih, Selangor pada 4 April lalu.

Nahas tersebut turut mengorbankan lima yang lain.

Pertembungan kedua-dua calon itu ibarat pertemuan antara ayah dengan anak memandangkan jarak usia yang terlalu jauh. Hasan, 67, merupakan orang lama dalam UMNO dan pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri Pahang sebelum ini.

Manakala Nazri, 40, adalah lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir.

Pemilihan Hasan sebagai calon telah mendapat reaksi negatif di kalangan akar umbi UMNO kerana ia bertolak belakang dengan seruan pucuk pimpinan sebelum ini yang mahu membuka lebih banyak peluang kepada orang muda.

Bagaimanapun, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden UMNO sudah pasti mempunyai alasan tersendiri memilih calon veteran pada PRK Rompin.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas, Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal itu setelah mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Hari pengundian PRK ini ditetapkan pada 5 Mei dan pengundian awal pada 30 April. - MPM


Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment