Chong Wei bangkitkan semangat skuad negara


KUALA LUMPUR - Kembalinya jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei daripada penggantungan selama tujuh bulan ternyata memberi semangat kepada para skuad negara mengharungi Piala Sudirman di Dongguan, China.

Buktinya, skuad negara yang sebelum ini tidak diberikan sebarang harapan oleh peminat telah mengejutkan Korea Selatan, 3-2 termasuk kemenangan yang dicipta oleh Chong Wei ketika beraksi buat kali pertama selepas penggantungan.

"Saya puas hati dengan ppestasi saya walaupun tidak turun gelanggang sudah tujuh bulan, tapi masih dapat merasai suasana kejohanan. Ini permainan pertama, saya harap boleh main lebih bagus lagi.

"Beregu kita main bagus, dan mata pertama mereka jadikan saya lebih semangat," katanya menerusi rakaman temubual Astro Arena malam tadi.

Mata pertama negara dipungut oleh pasangan beregu lelaki Goh V Shem/Tan Wee Kiong yang mengejutkan beregu nombor satu dunia Lee Yong Dae/Yoo Yeon Seong 20-22, 21-14, 27-25.

Hasrat meraih mata kedua daripada perseorangan wanita terbantut apabila Lim Yin Fun tewas mudah kepada pemain di ranking kelapan dunia, Sung Ji Hyun 9-21, 7-21 menjadikan kedudukan 1-1.

Bagaimanapun, Chong Wei yang kini berada di ranking 46 dunia, mempamerkan aksi seorang jaguh biarpun lama tidak turun ke gelanggang apabila mudah menjinakkan Lee Dong Keun 21-12, 21-10.

Pasangan beregu wanita negara Vivian Hoo/Woon Khe Wei yang turun pada perlawanan keempat gagal menambah mata negara selepas tunduk kepada pasangan Chang Ye Na/Jung Kyung Eun 20-22, 9-21.

Namun beregu campuran negara Chan Peng Soon/Goh Liu Ying melengkapkan kemenangan Malaysia selepas menewaskan Kim Ha Na/Kong Sung Hyun 23-21 dan 21-13 sekali gus mencerahkan peluang ke suku akhir.

Bagaimanapun,  Malaysia perlu berhadapan dengan India dalam perlawanan kumpulan 1C hari ini dan kemenangan akan membawa skuad negara melangkah ke separuh akhir. - MPM
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment