Jangan hina arwah ayah saya - Ahmad Maslan

PAPARAN muka aplikasi permainan di telefon pintar mengaitkan nama bapa Ahmad Maslan.
KUALA LUMPUR - "Jangan hina arwah ayah saya, Maslan, seorang penoreh getah yang miskin & buta huruf."

Demikian luahan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan terhadap mereka yang menghasilkan aplikasi permainan untuk telefon pintar, Maslan 3.85 Extended Version.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian dan Ketua Penerangan UMNO menerusi Twitternya berkata, mereka yang menghasilkan aplikasi itu jelas tidak mengetahui nama sebenarnya.

Aplikasi permainan itu dibangunkan oleh Vnbox Trading & Services Sdn. Bhd. dan menggunakan wajah Ahmad sebagai watak utama permainan tersebut.

Sejak pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan 1 April lalu, nama Ahmad menjadi bualan kerana tindakannya yang tidak jemu-jemu turun padang memberikan penjelasan mengenai cukai itu kepada rakyat.

Sementara itu, Ketua Penerangan Puteri UMNO Malaysia, Haryaty Hamdzah menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyiasat pencipta aplikasi ini dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang.

Menurutnya, tindakan mereka yang menghasilkan aplikasi permainan itu adalah biadap dan keterlaluan kerana menggunakan nama orang yang telah meninggal dunia dalam permainan itu.

"Perkara seperti ini jika tidak dibendung dikhuatiri akan berterusan dan menjadi fenomena baharu untuk mengaibkan pemimpin-pemimpin negara.

"Tindakan sebegini tidak sewajarnya berlaku tambahan pula ia mengaitkan orang yang telah meninggal dunia dan tiada kaitan dengan politik semasa," katanya dalam satu kenyataan. - MPM
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment