Najib akui masih dapat sokongan padu MT, akar umbi

NAJIB Razak (duduk tengah) ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur semalam.  Hadir sama timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua kiri). - Foto MetroPost Malaysia
KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui beliau masih mendapat sokongan padu ahli-ahli Majlis Tertinggi parti itu biarpun ada suara-suara di luar sana mendesak agar beliau melepaskan jawatan.

Kepimpinan Najib kini terpalit dengan isu 1MDB serta tekanan rakyat ekoran pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang menyebabkan kemerosotan majoriti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin dan kegagalan merampas Permatang Pauh.

Najib yang juga Perdana Menteri berkata, MT UMNO juga secara padu menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden parti serta Timbalan Perdana Menteri.

Beliau bagaimanapun mengakui antara dirinya dan Muhyiddin kurang berbincang secara 'hati ke hati' tentang sesuatu isu menyebabkan ada pihak-pihak yang cuba merosakkan hubungan mereka.

"Kami akan sentiasa berbincang dari hati ke hati selepas ini bagi memastikan pucuk pimpinan parti terus dalam keadaan selesa dan kukuh," tegas Najib sekali gus untuk menafikan dakwaan wujud perselisihan antara beliau dan timbalannya.

"Kalau ada berita angin yang tersebar sebelum mesyuarat ini maka kecewalah mereka yang menyebarkan berita palsu," katanya.

Nada yang sama disampaikan Perdana Menteri itu ketika berucap pada majlis makan malam sempena sambutan 69 tahun UMNO di Dewan Merdeka PWTC pada sebelah malamnya.

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bersama Ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO serta para exco sayap parti menyanyikan lagu UMNO pada majlis sambutan Ulang Tahun ke-69 UMNO di Dewan Merdeka PWTC malam ini. - Foto MetroPost Malaysia
Dalam ucapannya, Najib menegaskan bahawa beliau masih mendapat sokongan rakyat dan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi.

Portal berita MalaysiaKini sebelum itu melaporkan konon mesyuarat MT  akan mendesak agar Najib melepaskan jawatan ekoran isu 1MDB dan GST.

Najib juga mendapat tekanan hebat daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar melepaskan jawatan kerana dikatakan lemah dalam mentadbir negara. - MPM
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment