Ops Bersama Khas: 759 saman dikeluarkan

KERETA mewah yang melanggar undang-undang trafik tetap dikenakan saman dalam Ops Bersama Khas di Genting Highland semalam.

GENTING HIGHLAND  - Operasi Bersama Khas antara PDRM dan lain-lain agensi penguatkuasa iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan PUSPAKOM yang bermula semalam berakhir hari ini.

Ketua Operasi yang juga Pegawai Turus Penguatkuasaan Trafik, Bukit Aman, Supt. Bon Jeen Ah Rom berkata, operasi yang bermula seawal jam 8 pagi sehingga 5 petang itu melibatkan seramai 167 pegawai dan anggota penguatkuasa.

"Sebanyak 2,546 buah kenderaan telah diperiksa dengan sembilan daripadanya disita kerana melanggar peraturan dan 759 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya sepanjang dua hari tempoh operasi ini dilaksanakan.

Disamping itu, kami turut membuat ujian air kencing kepada 137 individu dengan 11 daripadanya didapati positif dadah," katanya  hari ini.

Beliau yang ditemui ketika selesai operasi itu turut menasihati pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

Empat lokasi utama yang menjadi tumpuan dalam operasi khas yang berakhir lewat petang tadi iaitu di bulatan Genting Sempah, susur keluar ke Gombak, susur keluar dari Batang Kali dan juga di Terminal Bas Genting Highland. _ MPM
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment