Pengerusi TH sebaiknya daripada latar belakang agama

ABDUL AZEEZ RAHIM
KUALA LUMPUR - Pengerusi Tabung Haji (TH) sebaiknya dilantik daripada kalangan mereka yang mempunyai latar belakang agama yang tinggi bagi mengelak salah tanggapan apabila tercetuskan sesuatu isu.

Seorang tokoh politik Pantai Timur yang enggan dikenali berkata, biarpun Pengerusi TH sekarang, Datuk Abdul Azeez Rahim bukanlah cetek agama tetapi adalah lebih baik sekiranya tokoh-tokoh agama memegang jawatan tersebut.

"Kalau Pengerusi TH tu orang yang mempunyai latar belakang agama yang tinggi saya percaya maklum balas orang ramai terhadap pembelian hartanah 1MDB tempoh hari berbeza," katanya kepada MetroPost Malaysia hari ini.

Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO dilantik sebagai Pengerusi TH selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Beliau juga dikatakan akrab dengan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

GAMBAR yang menjadi viral di media sosial selepas isu pembelian hartanah 1MDB di The Razak Xchange oleh Tabung Haji.
Ekoran isu pembelian hartanah 1MDB, Abdul Azeez telah didesak oleh pelbagai pihak supaya meletakkan jawatannya kerana didakwa menggunakan wang simpanan haji rakyat untuk menyelamatkan 1MDB.

Malahan penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza menganggap isu tersebut sebagai memalukan.

Dalam Twitternya, Siti Nurhaliza menulis "Sangat memalukan dengan apa yang terjadi dengan kes Tabung Haji... Ya Allah lindungilah kami".

Tokoh politik itu berkata, ramai lagi agamawan yang berkaliber boleh diangkat sebagai Pengerusi TH berbanding Abdul Azeez.

Bagaimanapun beliau enggan menyenaraikan mereka yang dianggap lebih layak mengisi jawatan itu bagi mengelak kontroversi.

"Saya kenal hampir semua ahli lembaga pengarah TH itu. Mereka ini begitu berhati-hati dan tak akan berani untuk menggunakan wang pendeposit sewenang-wenangnya," katanya. - MPM
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment