Penyokong Peteh mengamuk, stadium dibakar

KEBAKARAN di luar Stadium Sultan Mizan dipercayai perbuatan penyokong Terengganu yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil malam ini. 
KUALA LUMPUR - Gara-gara tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil sehingga Terengganu gagal mara ke final Piala FA, para penyokong skuad Peteh telah mengamuk dan membakar Stadium Sultan Miza di Kuala Terengganu malam tadi.

Ia berpunca daripada keputusan pengadil perlawanan, Mohd Amirul Izwan Yaacob yang membatalkan jaringan Mohd Nordin Alias pada minit ke-89 kerana offside ketika kedudukan agregat terikat 4-4.

Walaupun tewas 2-3 malam ini, Lion XII mara ke final buat kali pertama selepas memperoleh kelebihan jaringan di tempat lawan, ketika kedua-dua pasukan terikat 4-4. Pada perlawanan pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura menang 2-1.

Insiden pada saat-saat akhir perlawanan itu juga menyebabkan dua pemain import Terengganu, Paulo Rangel dan Gustavo Fabian Lopez di buang padang.

Rangel dikenakan kad merah kerana membantah keputusan pengadil yang membatalkan jaringan tersebut manakala Gustavo menolak Mohd Amirul Izwan seminit kemudian dan menerima kad kuning kedua.

Terengganu dikejutkan dengan jaringan awal penyerang Lions XII, Muhammad Khairul Amri Mohamad Kamal pada minit ke-16 sebelum Rangel menyamakan kedudukan selepas menanduk masuk hantaran Issey Nakajima-Farran, selang lima minit kemudian bagi menggembirakan hampir 30,000 penyokong yang hadir.

Kegembiraan mereka tidak bertahan lama apabila Muhammad Khairul Amri melakar jaringan peribadi kedua menerusi rembatan kencang daripada luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli pada minit ke-27.

Rangel kembali mengikat kedudukan menjadi 2-2 selepas menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan babak pertama setelah beliau dikasari pemain lawan di dalam kotak penalti.

Penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha meletakkan Terengganu di hadapan pada minit ke-59 setelah memanfaatkan keadaan kelam kabut di depan pintu gol Lions XII.

Lion XII akan berdepan Kelantan di pentas final yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas membenam Pahang 3-1 di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini.  - MPM
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment