Wartawan Tamil Malar maut digilis komuter

KEADAAN badan mangsa yang hampir terbelah dua akibat digilis komuter dalam kejadian di Stesen Komuter Batu Kentomen, di Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dipercayai wartawan sebuah akhbar berbahasa Tamil maut selepas digilis tren komuter di Stesen Batu Kentomen, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 9.20 pagi, mangsa, K. Anamalay, 67, maut di tempat kejadian selepas badannya hampir terbelah dua akibat digilis tren yang dalam perjalanan dari Batu Caves ke Pelabuhan Klang.

Laporan daripada pemandu tren, semasa kenderaan itu kira-kira 15 meter untuk sampai ke stesen tiba-tiba mangsa terjun ke landasan di platform dua.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R. Munusamy yang mengesahkan kejadian itu berkata, pemandu komuter telah membunyikan hon yang panjang tetapi mangsa tidak berganjak.

"Selepas komuter diberhentikan, didapati lelaki berkenaan telah mati dan badannya terbelah dua," katanya.

Munusamy berkata, mangsa adalah seorang wartawan di Tamil Malar berpejabat di Jalan Ipoh di sini, tetapi tinggal bersendirian di sebuah rumah berhampiran stesen komuter berkenaan manakala keluarganya berada di Sungai Petani.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - MPM
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment