Tragis... Tujuh daripada dua keluarga ajal di jalan raya hari ini

Keadaan kereta dipandu Mohd Najib Mohd Idris selepas bertembung dengan lori tangki menyebabkan dia dan ahli keluarganya maut dalam kejadian di Kota Tinggi hari ini. - Foto ihsan pembaca
KUALA LUMPUR - Sekurang-kurangnya tujuh orang daripada dua keluarga menemui ajal di tengah jalan hari ini selepas terbabit dalam dua kemalangan berasingan di Sepang, Selangor dan Kota Tinggi, Johor.

Di Sepang, tiga sekeluarga maut apabila kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di KM 39.5 Lebuhraya Elite, arah utara menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mangsa yang meninggal dunia ialah Muhamad Rafee Muhammad Khamdani, 30, Muhammad Khamdani Sardi, 57, dan Siti Salwati Mohammad Khamdani, 33.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 4.40 petang apabila kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandu oleh Muhamad Rafee bersama empat penumpang telah hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah lori treler dari arah sama.

Abdul Aziz berkata, dua kanak-kanak terselamat dalam kejadian itu dan mereka dihantar ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan.

Sebelum itu, empat beranak maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta Proton Wira dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki di Jalan Kota Tinggi-Desaru berhampiran Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi, Johor tengah hari ini.

Mangsa yang maut ialah pemandu, Mohd. Najib Mat Idris, 29; isteri, Mahfuzah Abdul Hamid, 29; dan dua anak mereka berusia dua tahun dan empat bulan yang masih belum dikenal pasti identiti mereka.

Mangsa yang cedera ialah Mahirah Huda Abdul Hamid yang merupakan adik kepada Mahfuzah.
Balai Bomba dan Penyelamat Penawar, Kota Tinggi menerima laporan tentang kejadian itu pukul 12.35 tengah hari tadi.

Kadar kemalangan maut yang meningkat mendadak sejak musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini sehingga mencetuskan kebimbangan di pihak berkuasa.

Justeru para pemandu kenderaan termasuk penunggang motosikal sentiasa diingatkan agar berhati-hati ketika memandu atau menunggang motosikal serta patuhi undang-undang dan peraturan jalan raya.
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment