FAM tidak iktiraf gelaran Harimau Malaya

TENGKU Abdullah (empat kiri) bersama wakil-wakil penaja skuad kebangsaan pada majlis pengumuman penajaan dan nama skuad Harimau Malaysia, di Kuala Lumpur hari ini. - Bernama
KUALA LUMPUR - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mengiktiraf gelaran Harimau Malaya yang diberikan kepada skuad kebangsaan walaupun gelaran itu sudah diguna pakai sejak 50 tahun lalu.

Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, gelaran Harimau Malaya pada asalnya merujuk kepada bekas pemain kebangsaan Allahyarham Dollah Don dan kemudiannya diberikan kepada skuad kebangsaan.

Bagaimanapun beliau bertitah, gelaran itu sudah tidak lagi sesuai digunakan hari ini dan memutuskan gelaran rasmi skuad kebangsaan kini dikenali sebagai Harimau Malaysia.

"Gelaran ini juga bertepatan untuk menggambarkan skuad kebangsaan kita adalah milik seluruh rakyat Malaysia termasuk juga mereka di Sabah dan Sarawak yang mungkin selama ini terasa sedikit tersisih dengan penggunaan gelaran Harimau Malaya.

“Jadi sebab itulah FAM berasakan 2016 adalah tahun sesuai untuk permulaan penggunaan nama gelaran baharu ini bagi menyaksikan skuad Harimau Malaysia kembali bangkit dan menjadi pasukan kompetitif di peringkat antarabangsa” titah Tengku Abdullah.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengenalan Penaja dan Pengumuman Nama Gelaran Baharu Skuad Kebangsaan di Hotel The Royal Chulan, di sini, hari ini.

Empat penaja rasmi yang terus memberi sokongan dan komitmen bersama skuad kebangsaan untuk tahun 2016 ini terdiri daripada Telekom Malaysia (TM), Bank Islam, Nike dan 100PLUS.

Telekom Malaysia yang merupakan Rakan Utama (Main Partner) kepada pasukan kebangsaan sejak tahun 2011, telahpun memeterai pebaharuan perjanjian penajaan selama lima tahun lagi sehingga ke tahun 2020.

 “Inilah yang dinamakan sokongan padu yang tidak berbelah bagi” titah Tengku Abdullah.

Tengku Abdullah juga bertitah agar semua yang terlibat dalam bolasepak Negara menerima secara positif perlantikan Datuk Ong Kim Swee dan Frank Bernhardt sebagai ketua jurulatih kebangsaan dan ketua jurulatih Pasukan kebangsaan bawah 22,  serta memberi sokongan dan kerjasama sepenuhnya agar mereka dapat mencapai kejayaan dalam tugasan masing-masing.

Nama gelaran Harimau Malaya terhadap skuad kebangsaan sebelum ini pada dasarnya adalah merujuk kepada subspecies harimau yang terdapat di Semenanjung Malaysia.

Namun apabila terdapat perkataan Malaya di situ, ia dianggap oleh rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak seolah-olah seperti meminggirkan mereka.

Pada Februari tahun lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pernah menyarankan agar nama gelaran Harimau Malaysia diguna pakai berbanding Harimau Malaya. - MP
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment