Kebangkitan luar biasa Southampton


LONDON - Liverpool mensia-siakan kelebihan mendahului 2-0 pada babak pertama apabila membenarkan Southampton bangkit dengan tiga gol menakjubkan pada separuh masa kedua untuk mencatat kemenangan 3-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium St Mary’s, sebentar tadi.

Kekalahan ini menyukarkan misi skuad bimbingan Jurgen Klopp untuk menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik, kedudukan yang memberikan slot automatik ke Liga Juara-Juara, musim depan.

The Reds memulakan saingan dengan garang apabila membuka jaringan seawal minit ke-17 menerusi rembatan kaki kanan Phillipe Coutinho di luar kotak penalti, sebelum Daniel Sturridge menggandakan kedudukan 2-0 pada minit ke-22.

Joe Allen hampir meletakkan pasukan pelawat mendahului 3-0 apabila meledak gol dalam kawasan kotak penalti pada minit ke-34, malangnya jaringan tersebut tidak dibenarkan oleh pengadil perlawanan yang mendakwa dia sudahpun ofsaid.

Sebaik saja babak kedua bermula, Southampton menunjukkan kesungguhan untuk bangkit di depan penyokong sendiri dengan mengatur serangan bertali arus, hasilnya asakan mereka menyebabkan pertahanan Liverpool, Martin Skrtel melakukan kesilapan dengan menjatuhkan penyerang lawan, Graziano Pelle.

Begitupun penjaga gol Reds, Simon Mignolet bertindak cemerlang menepis sepakan yang diambil oleh Sadio Mane.

Pasukan tuan rumah tidak berputus asa untuk mendapatkan jaringan, dan hasilnya Mane menebus kesilapan dengan merapatkan jurang pada minit ke-64, sebelum Pelle menyamakan kedudukan pada minit ke-83.

Ketika saingan tinggal empat minit untuk ditamatkan, The Saints semakin garang untuk mencari gol kemenangan dan Mane sekali lagi muncul wira pasukannya dengan merembat gol kemenangan menewaskan Mignolet. - Agensi
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment