Kes pukul bekas isteri belum reda, Awie nak bernikah lagi


KUALA LUMPUR - Ketika kisah rumah tangganya bersama bekas isteri, Rozana Misbun masih belum reda, vokalis kumpulan Wings, Awie khabarnya akan bernikah lagi.

Sumber memberitahu Awie bakal menamatkan zaman dudanya bersama wanita pilihan hatinya yang bergelar Sharifah.

Awie, 48, khabarnya sedang membuat persiapan terakhir untuk melangsungkan perkahwinan dengan wanita tersebut dalam masa terdekat.

Pelakon filem Zombie Kampung Pisang itu juga telah membuat tempahan katering, pakaian pengantin dan sebagainya, menjelang hari bahagianya.

Difahamkan, bakal isteri Awie sering dilihat dalam beberapa majlis hiburan sebelum ini, tetapi tidak berjaya dihidu media.

Keakraban mereka sudah terjalin semenjak beberapa tahun lalu dan bermula sebagai artis dan peminat.

Awie sebelum ini berdepan dengan tuduhan mencederakan bekas isterinya, Rozana Misbun, 38, namun dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah selepas dia memohon maaf secara terbuka dan membayar denda RM10,000 kepada Rozana.

Keputusan ini dicapai setelah pihak pendakwaan dan pembelaan berjaya memperoleh kata sepakat untuk menyelesaikan masalah secara bersama, mengikut Seksyen 260 Kanun Tatacara Jenayah.

Dalam pada itu, semasa pelancaran program Ceria Pop Star di sini baru-baru ini, Awie mengakui beliau sedang dalam proses mengenali seseorang dan berniat untuk melangsungkan perkahwinan dengan wanita itu.

Katanya, anak-anaknya memerlukan kasih sayang seorang ibu untuk membesar dengan baik dan kehidupan perlu diteruskan biarpun bapa kepada lima orang anak itu pernah dilanda pelbagai kontroversi melibatkan hal rumah tangga sebelum ini.

“Tidak mungkin serik untuk berkahwin. Saya lelaki dan kehidupan perlu diteruskan. Anak-anak pun memerlukan kasih sayang seorang ibu di sisi mereka, jadi saya kena cari orang lain.

“Penggantinya itu ada, kami sedang berkawan, mengenali hati budi cuma kena tunggu masalah ini selesai, baru kita cakap pasal kahwin. Ada jodoh, kahwinlah nanti,” katanya.  - MPM
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment