Liga Super: Penyu buatkan Gergasi Merah menangis

ISSEYN NAKAJIMA
KUALA TERENGGANU - Import Terengganu, Issey Nakajima Farran memastikan skuad Gergasi Merah "menangis" selepas membantu pasukannya menang 3-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini malam ini.

Pemain kebangsaan Kanada itu membuka tirai jaringan di hujung babak pertama menerusi rembatan kaki kiri yang gagal diselamatkan Khairul Azhan.

Selangor kembali menyamakan kedudukan sebaik bermula babak kedua menerusi percubaan Gopinathan yang gagal ditampan penjaga gawang Sharbinie Alawi.

Namun kelegaan pengendali Selangor, Zainal Abidin Hassan tidak kekal lama apabila penyerang Argentina Juan Morales pula kembali meletakkan skuad Penyu didepan pada minit ke 80.

Issey kembali menghantui The Red Giants tujuh minit kemudian apabila menanduk masuk gol ketiga selepas menerima hantaran dari Joseph Kalang Tie.

Keputusan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan sekaligus membolehkan Terengganu melonjak ke tangga keempat liga.

Sementara itu, para peminat Gergasi Merah melepaskan geram mereka di media sosial dengan kekalahan pertama pasukannya itu.

Beberapa netizen melontar rasa tidak puas hati dengan prestasi bekas-bekas pemain Pahang yang dibawa oleh Zainal ke Lembah Klang kerana didapati tidak memuaskan.

Bagaimanapun, ada netizen yang cuba bersikap positif dengan menganggap kekalahan Selangor disebabkan keletihan selepas beraksi di Piala AFC beberapa hari lepas. - MPM
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment