Penganggur ditawar pekerjaan selepas mencuri di pasar raya


BUKIT MERTAJAM - Seorang  penganggur yang ditahan oleh kakitangan keselamatan Tesco Bukit Mertajam dapat menarik nafas lega kerana dia bukan sahaja tidak diserah kepada pihak polis, malah ditawarkan pekerjaan oleh pasar raya itu.

Mohd Pirdaus Azizan, 31, ditahan selepas didapati mencuri buah-buahan dan minuman tin ketika dia cuba bergegas keluar dari pasar raya itu.

Memetik laporan Astro Awani, ketika disoal siasat, Pirdaus mengaku dia terpaksa mencuri kerana tidak mempunyai wang untuk membeli makanan buat tiga orang anaknya yang berusia dua hingga tujuh tahun yang kelaparan.

Kata Pirdaus, isterinya Norfarahiza Salahuddin, 31, sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di Hospital Bukit Mertajam  kerana komplikasi akibat keguguran.

Mendengar penjelasan Pirdaus, Pengurus Tesco Mall Bukit Mertajam mengambil keputusan untuk tidak mendakwa Pirdaus sebaliknya dia ditawarkan untuk bekerja di pasar raya itu.

Menurut jurucakap Tesco Mall Bukit Mertajam, pihaknya telah menjalankan siasatan terhadap dakwaan Pirdaus dan ternyata semuanya adalah benar.

"Kami bukan mahu menggalakkan kecurian. Tetapi kes ini berbeza. Kami sudah menjalankan siasatan dan apa yang diceritakan Pirdaus memang benar.

"Kami bersimpati dengan kesusahannya, dan kami faham apa yang dilakukan adalah kerana terpaksa," kata jurucakap itu. - MPM
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment