Pengantin RM15,000 pertahankan diri, ahli keluarga


KUALA LUMPUR - Kes pergaduhan keluarga pengantin di sebuah masjid di Pantai Dalam, di sini Sabtu lalu yang mendapat liputan media nampaknya akan berlarutan.

Ini ekoran tindakan kedua-dua pengantin terbabit masing-masing mempertahankan diri dan ahli keluarga berhubung kejadian yang dianggap 'memalukan' itu.

Pengantin perempuan, Nurul Hasnani Yazit, 21, berkata, keluarganya hanya bertindak daripada diserang oleh keluarga pengantin lelaki.

Menurutnya, dia tidak menyangka perkara itu me­nimpa keluarganya apatah lagi video bertumbuk antara bakal suami dan keluarga yang berdurasi tiga minit mula tersebar dan menjadi viral di laman sosial.

“Terus terang saya sedih dengan apa yang berlaku, kawan-kawan juga ada bertanyakan kepada saya tentang kejadian itu kerana ia sudah tersebar.

“Saya tidak mahu cakap me­ngenainya dan rasa kami tidak akan berhubung semula lepas ni,” katanya seperti dipetik dari Utusan Online hari ini.

Sementara itu, pengantin lelaki, Nor Izzat Norazman, 27, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan telah membuat laporan polis pada jam 5.35 petang hari kejadian.

Dalam laporan itu, Nor Izzat berkata, pihak pengantin perempuan enggan meneruskan majlis akad nikah kerana baki wang hantaran belum diterima.

“Sewaktu mahu beredar, abang saudara tunang saya tidak puas hati dengan keadaan itu. Selepas itu mereka tidak bersetuju untuk melangsungkan akad nikah itu.

“Wang yang saya berikan kepada mereka untuk majlis tersebut sebanyak RM11,000," katanya

Nor Izzat berkata, selepas berlaku kekecohan dia telah mengambil keputusan keluar dari masjid sebelum tiba-tiba dua orang ahli keluarga pengantin perempuan menumbuknya.

“Tiba-tiba datang lagi dua lelaki Mleayu yang dipercayai saudara tunang saya dari arah belakang telah memukul saya. Rombongan saya juga dipukul semasa cuba meleraikan pergaduhan itu. Kereta rombongan saya juga dipukul oleh mereka sehingga ada kesan kemek,” katanya.

Menurut Nor Izzat, dia membuat laporan polis untuk menuntut semula ganti rugi bagi semua perbelanjaan majlis nikah yang mana kesemua itu adalah duit simpanannya sendiri. - MPM
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment