Enam disahkan maut, dua bot berlanggar di Tuaran

Dua buah bot yang terlibat dalam kemalangan di Sungai Serusup, Tuaran malam tadi.
TUARAN - Enam penumpang termasuk seorang kanak-kanak perempuan disahkan mati lemas selepas dua buah bot yang membawa lebih 20 penumpang bertembung di Sungai Serusup, dekat sini malam tadi.

Lima mangsa yang disahkan meninggal dunia sebelum ini ialah Saloma Maid, Aziah Maidin, Ainol Hasnom, Nurul Hazah dan kanak-kanak 5 tahun, Nurkasih Salim.

Mangsa keenam ialah Wong Vun Chong, 47, ditemukan kira-kira 8.30 pagi ini berhampiran lokasi kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tuaran, ASP Raji Hussin Suhodin berkata, dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, seramai 30 penumpang dilapor menaiki kedua-dua bot berkenaan.

Seramai 24 orang terselamat.

Menurut Raji Hussin, siasatan awal mendapati pelanggaran bot itu berlaku disebabkan kedua-duanya tidak mempunyai lampu dan semua penumpang tidak dibekalkan dengan jaket keselamatan.

Katanya, salah sebuah bot yang dinaiki 20 penumpang itu sedang dalam perjalanan dari Serusup ke kampung Panimbawan untuk menghadiri majlis perkahwinan di kampung berkenaan.

Bot malang itu telah berlanggar dengan sebuah lagi bot yang dinaiki 10 penumpang yang dalam perjalanan ke Serusup.

Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan di sekitar lokasi kejadian melibatkan 60 anggota dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, polis, bomba dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia.

Jumlah sebenar penumpang kedua-dua bot tersebut tidak dapat dipastikan. - MPM
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment