"Jangan seronok sangat", kata terakhir mangsa lemas di Flores


SEPANG - "Jangan seronok sangat, tuhan nak tarik sekejap sahaja", itu kata-kata terakhir dua rakyat Malaysia yang maut akibat lemas di kawasan perkelahan air terjun Cunca Wulang, daerah Mibeliling di wilayah Flores, Indonesia, semalam.

Mohamad Imran Helmy Had, 24, berkata walaupun tiada perubahan sikap yang ketara, ingatan itu merupakan perkataan yang sering diungkapkan dua rakannya Mohamad Azfar Tahir dan Mohammad Ezzaq Azumi sebelum kejadian malang itu berlaku.

"Saya, Azfar, Ezzaq serta dua lagi yang turut berada di lokasi kejadian merupakan rakan karib sejak sekolah rendah dan sentiasa melakukan aktiviti riadah dan melancong bersama.

"Mandi di air terjun itu adalah aktiviti terakhir kami sebelum kembali ke Malaysia setelah seminggu berada di Indonesia dan saya tidak menyangka ingatan yang berupa gurauan itu adalah perbualan terakhir kami sebelum rakan karib saya itu pergi selama-lamanya," katanya.

Beliau ditemui pemberita sejurus tiba dari Denpasar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini hari ini.


Turut tiba dua lagi rakannya, Mohamad Qayyum Pirdous dan Muhammad Nurhafiz Bor Adzmi, masing-masing berumur 23 tahun.

Selain Mohamad Azfar, 23, yang berasal dari Kuala Lumpur dan Mohammad Ezzaq, 23, dari Kelantan, turut ditemukan dalam kolam air terjun itu ialah warga Flores yang dipercayai pemandu pelancong mereka, Wenseslaus Hendro Akung, 39.

Mengimbau kembali kejadian, Mohamad Imran berkata mereka sebenarnya telah membuat penyelidikan berkaitan paras air dan keadaan air terjun tersebut sebelum memutuskan untuk mandi di situ.

Secara asasnya paras kedalaman air ialah antara lima hingga tujuh meter, manakala ketika kejadian pada 11.30 pagi itu, arus adalah tenang, katanya.

Beliau berkata Mohamad Azfar adalah orang keempat yang terjun dan sebaik memasuki air, beliau tiba-tiba tenggelam sebelum Mohammad Ezzaq dan Hendro yang cuba membantu turut lemas.

"Saya hanya mampu menjerit meminta tolong namun ketika itu belum ramai orang di tempat kejadian," katanya yang tidak terjun ke dalam air kerana tidak tahu berenang.

Terdahulu, jenazah Mohammad Ezzaq dan Mohamad Azfar selamat tiba di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada pukul 7.05 malam.

Jenazah Mohamad Ezzaq kemudiannya dibawa ke Masjid al-Khairiah, Taman Sri Gombak untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Bukit Pertama, Gombak.

Jenazah Mohammad Azfar pula dibawa ke rumah keluarganya di Kampung Padang Balang, Sentul dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Taman Batu Muda, esok. - Bernama
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment