Khir Toyo tamat jalani parol, dibebaskan sepenuhnya


KLANG - Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, yang menjalani tempoh parol selama dua bulan sejak Mac lepas, dibebaskan hari ini.

Pengarah Parol dan Bahagian Perkhidmatan Komuniti Jabatan Penjara, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata Dr Mohamad Khir dibebaskan selepas mematuhi syarat parol yang ditetapkan sepanjang menjalani perintah tersebut.

"Mengikut tarikh pembebasan, Dr Mohamad Khir sepatutnya dibebaskan pada 29 Mei ini (Ahad ini) tetapi memandangkan ia jatuh pada hari cuti umum, kita bebaskan beliau pada hari ini," katanya dalam sidang media di Pejabat Parol Klang di sini.

Terdahulu, Abdul Aziz menyaksikan Dr Mohamad Khir menandatangani dokumen pembebasannya pagi tadi.

Dr Mohamad Khir, 51, menjalani hukuman penjara 12 bulan bermula 29 September tahun lepas setelah Mahkamah Persekutuan mendapati beliau bersalah menggunakan kedudukannya bagi memperoleh dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam untuk diri dan isterinya bernilai RM6.5 juta pada harga RM3.5 juta.

Kesalahan itu dilakukan di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Beliau kemudian menjalani perintah parol bermula 29 Mac lepas setelah menjalani hukuman penjara enam bulan.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata Dr Mohamad Khir layak mendapat parol kerana telah mematuhi perintah ditentukan oleh Lembaga Parol mengikut syarat yang ditetapkan.

Antara syarat itu ialah hukuman penjara yang dikenakan harus lebih daripada setahun serta kesalahan yang dilakukan bukan dalam kategori kesalahan yang ditetapkan dalam Jadual Keempat Akta Penjara 1995.

"Dr Mohamad Khir layak mendapat parol kerana memenuhi syarat dan telah mengikuti program pemulihan yang dilaksanakan.

"Beliau juga tidak melakukan apa-apa kesalahan yang melanggar peraturan
penjara," katanya. - BERNAMA
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment