Pedofilia British dipenjara seumur hidup


LONDON - Pesalah pedofilia, Richard Huckle yang juga warganegara Britain dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah terhadap 71 pertuduhan berkaitan penderaan seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia.

Hakim Mahkamah Old Bailey, Peter Rook menjatuhi hukuman itu terhadap Huckle, 30, selepas lelaki yang berasal dari Ashford, Kent terbabit mengaku mendera kesemua mangsa yang berusia antara enam bulan hingga 12 tahun.

Menurut portal BBC News, perbuatan terkutuk itu dilakukannya antara 2006 hingga 2014.

Oleh yang demikian, tertuduh akan menjalani hukuman penjara sekurang-kurangnya 23 tahun.

Difahamkan, kira-kira 200 kanak-kanak di Malaysia khususnya kalangan keluarga miskin menjadi mangsa lelaki berkenaan.

Huckle dikatakan menyamar sebagai lelaki yang mengamalkan ajaran Kristian dan datang ke Malaysia pada tahun 2011 ketika berusia antara 18 dan 19 tahun sebelum bertemu dengan kanak-kanak terbabit ketika menjalani kerja-kerja sukarela.

Dia telah diterima sebagai pelajar Universiti Metropolitan dalam bidang teknologi maklumat dan bekerja sebagai jurugambar sambilan.

Lelaki itu dikatakan merakamkan gambar serta video dirinya sedang merogol dan menganiaya kanak-kanak lelaki dan perempuan malah bayi yang masih memakai napkin.

Dalam pada itu, Rook dalam penghakimannya berkata, Huckle telah merosakkan kehidupan mangsa untuk selama-lamanya.

“Tanpa belas kasihan, anda (Huckle) telah menjadikan anak-anak muda sebagai mangsa. Anda mencari kanak-kanak yang miskin,” katanya.

Memetik beberapa laporan sebelum ini, kumpulan penyiasat dikatakan menemukan lebih daripada 20,000 gambar lucah dan video kanak-kanak yang menjadi mangsa serangan Huckle sebelum ini.

Koleksi peribadi lelaki pedofilia itu kemudian dikongsi ke seluruh dunia menerusi satu laman web dikenali sebagai ‘laman web gelap’.

Malah, Huckle dikatakan cuba menjadikan koleksi itu suatu perniagaan ketika ditahan oleh Agensi Jenayah Kebangsaan Britain. - AGENSI
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment