Pendakwah Sarawak, Terengganu bawa Islam ke Bali

BAHAGIAN I/2:
KOMPLEKS Makam Buyut Lebai yang menempatkan makam Dawan Sirajuddin yang berasal dari Sarawak serta beberapa pengikutnya, di Kampung Loloan, Jembrana, Bali. - Foto MetroPost Malaysia
SIAPA sangka Bali yang terkenal sebagai pulau peranginan di Indonesia dengan majoriti penduduknya beragama Hindu rupa-rupanya mempunyai sebuah perkampungan Melayu yang sudah bertapak sejak abad ke-17 lagi. Perkampungan Melayu itu letaknya di Loloan, mukim Negara dalam daerah Jembrana di barat pulau tersebut.

Menurut seorang tokoh penduduk, Achmad Damanhuri Abdul Halim, 83, kira-kira 75 peratus penduduk di Loloan masih lagi bertutur bahasa Melayu dalam percakapan harian manakala 30 peratus rumah-rumah di kawasan tersebut masih mengekalkan rumah tradisional Melayu.

"Uniknya, kami masih lagi boleh bertutur bahasa Melayu dan berpantun walaupun selepas beberapa generasi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Loloan Timur, Negara, Jembrana, Bali baru-baru ini.
MAKAM Buyut Lebai atau Dawan Sirajuddin (kanan) dan Muhammad Ya'qub dari Terengganu (kiri) yang ditempatkan di Kompleks Buyut Lebai. - Foto MetroPost Malaysia
Menceritakan bertapaknya masyarakat Melayu dan Islam di Jembrana, Achmad Damanhuri berkata, peristiwa itu berlaku dalam tiga peringkat dengan peringkat pertama pada tahun 1653 apabila sekumpulan orang Bugis yang melarikan diri daripada serangan Belanda di Makassar, Sulawesi mendarat di muara Sungai Ijo Gading.

Beliau berkata, mereka datang menggunakan kapal perang jenis Pinisi dan Lambo yang lengkap dengan senjata seperti meriam, tombak dan keris.

"Peringkat kedua pula sekitar tahun 1669 apabila empat ulama datang ke Jembrana untuk menyampaikan dakwah Islam, dan hasrat mereka mendapat restu penguasa Jembrana, I Gusti Arya Pancoran yang beragama Hindu," katanya.

RUMAH-RUMAH tradisional Melayu masih kekal di Kampung Loloan sehingga hari ini. - Foto MetroPost Malaysia
Empat ulama tersebut ialah Dawan Sirajuddin yang berasal dari Sarawak, Syeikh Basir dari Yemen dan dua ulama dari Makassar, iaitu Mohammad Yasin dan Syihabbudin.

Dawan Sirajuddin dikatakan lahir di Bumi Kenyalang pada tahun 1619 dan meninggal dunia pada tahun 1744. Jenazah beliau dikebumikan di Loloan Timur yang kemudian diberi gelaran oleh masyarakat setempat sebagai Makam Buyut Lebai.

Menceritakan lebih lanjut, Achmad Damanhuri berkata, kedatangan pasukan tentera Bugis dan empat ulama telah diterima oleh Raja Arya Pancoran malah mereka diberikan tempat untuk bermukim di Loloan Barat dan Timur serta diberi layanan sebagaimana penduduk asal Bali.

Walaupun mereka beragama Islam, mereka disatukan bersama masyarakat Hindu Jembrana dengan aman damai dan diberi kebebasan untuk menjalankan syariat Islam serta menyebarkan syiar Islam.

Sebuah masjid juga telah dibina pada tahun 1679 sebagai lambang bertapaknya Islam di Jembrana dan masjid tersebut kemudian dinamakan sebagai Masjid Agung Baitul Qadim pada tahun 1974 yang masih tersergam sehingga hari ini.

ACHMAD DAMANHURI menceritakan tentang sejarah kampong Loloan kepada penulis ketika ditemui di Loloan, Jembrana, Bali, Indonesia baru-baru ini. - Foto MetroPost Malaysia
Achmad Damanhuri berkata, pendatang Melayu dan Islam di Jembrana bukan sahaja dilayan dengan saksama malah turut diberi penghormatan untuk ikut serta memperkuat pertahanan sebagai perajurit.

"Perahu-perahu perang mereka diubah suai menjadi perahu dagang untuk kemudahan menjalankan perniagaan dan mengangkut hasil pertanian dan ternakan dari Jembrana ke luar Bali," kata Achmad Damanhuri yang mengaku sebagai keturunan Buyut Lebai.

Peringkat ketiga kedatangan orang Melayu dan Islam di Jembrana pula, kata Achmad Damanhuri, berlaku pada abad ke-18, tepatnya pada tahun 1799 iaitu ketika Jembrana diperintah oleh Raja Putu Seloka.

Katanya, pada masa itu datang sekumpulan empat buah kapal pelawat dari Pontianak, Kalimantan yang diketuai oleh Syarif Abdullah Yahya al-Qadri bersama awak-awak kapal yang terdiri daripada orang Melayu, Bugis dan Arab.

Seperti kedatangan orang Bugis, kumpulan pelawat dari Kalimantan juga dikatakan melarikan diri daripada serangan Belanda. Ini terbukti apabila kapal-kapal mereka turut dilengkapi dengan senjata termasuk meriam.

"Mereka disambut oleh Raja Putu Seloka dan dibenar bermukim di kawasan seluas 80 hektar di Loloan Barat dan Loloan Timur, yang menjadi penempatan masyarakat Melayu sehingga hari ini," kata beliau.

Tambah beliau, pada tahun 1804, Syarif Abdullah yang juga dikenali Syarif Tua bersama rakan-rakannya telah sepakat membina kubu pertahanan di Loloan Timur, yang dikenali sebagai Kubu Fathimah. Syarif Abdullah meninggal dunia pada tahun 1858 di Loloan Barat dan jenazahnya dikebumikan di perkarangan Masjid Agung Baitul Qadim.

JALAN utama memasuki Kampung Loloan Timur. - Foto MetroPost Malaysia
"Beliau meninggalkan banyak jasa dan perjuangan bagi umat Islam dan pemerintah kerajaan Jembrana. Untuk mengingati jasa-jasanya, maka pemerintah mengabadikan namanya pada sebuah jambatan yang menghubungkan Loloan Barat dan Loloan Timur dengan nama Jambatan Syarif Tua," kata Achmad Damanhuri.

Sehingga kini Jembrana amnya dan Loloan khasnya, kekal sebagai perkampungan Islam terbesar di Bali manakala penduduknya pula dikenali sebagai masyarakat Melayu Bali.

Para pengkaji sejarah Islam di negara ini mungkin boleh membuat penyelidikan lebih mendalam tentang Dawan Sirajuddin dan Muhammad Ya’qub, dua tokoh Islam terkenal di Jembrana yang dikatakan berasal dari Sarawak dan Terengganu.
Kongsi di Google Plus

Perihal Lukman Ismail

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment