Ya'qub Terengganu tinggalkan legasi di Bali

BAHAGIAN 2/2:
MASJID Jembrana yang asalnya dibina tahun 1679 dan kini dikenali sebagai Masjid Agung Baitul Qadim di Kampung Loloan, Jembrana, Bali, Indonesia. - Foto MetroPost Malaysia
JIKA menyebut nama “terengganu” rata-rata penduduk Loloan di Jembrana, Bali, Indonesia mengetahuinya sebagai satu nama di Malaysia. 

Hal ini kerana sebahagian daripada penduduk kampung tersebut dikatakan berketurunan seorang anak muda dari Terengganu yang datang dan menetap di kampung tersebut pada abad ke-18 lalu. Pemuda tersebut, Muhammad Ya’qub dikatakan telah berkahwin dengan penduduk Melayu tempatan.

Menurut buku Sejarah Masuknya Islam di Bali II tulisan I Wayan Reken,  Muhammad Ya’qub datang ke Jembrana bersama rombongan Syarif Abdullah Yahya al-Qadri, seorang pembesar dari Pontianak, Kalimantan pada tahun 1799.  Turut bersama dalam rombongan tersebut ialah orang Bugis, Melayu dan Arab.
KOMPLEKS makam yang terletak di belakang Masjid Agung Baitul Qadim yang dikatakan menempatkan makam sebenar Muhammad Ya'qub  (paling kanan) bersama makam Abdullah Yahya al-Qadri.  - Foto MetroPost Malaysia
Syarif Abdullah yang juga dikenali sebagai Syarif Tua datang ke Jembrana bersama empat buat kapal yang dilengkap dengan senjata api termasuk meriam.  Mereka dikatakan melarikan diri daripada serangan Belanda sehingga tiba di pulau tersebut.

Pada masa itu, Jembrana di bawah penguasaan Raja Putu Seloka yang menyambut kedatangan rombongan Syarif Abdullah dan menyediakan kawasan seluas 80 hektar di Loloan Barat dan Loloan Timur untuk didiami oleh beliau serta pengikutnya.

“Pada tahun 1800, Putu Seloka telah melantik kumpulan ini sebagai tentera pengaman di Jembrana. Pada tahun 1804, Syarif Abdullah bersama rakan-rakan bersatu membina kubu pertahanan di Loloan Timur yang dikenali sebagai Kubu Fathimah,” kata Achmad Damanhuri dalam buku, Sekapur Sirih, Maqam Keramat “Buyut Lebai”.

Pada tahun 1847, Muhammad Ya’qub telah mewaqafkan sepetak sawah dan senaskhah al-Quran bertulisan tangan kepada Masjid Jembrana yang terletak di Loloan Timur.  Hal ini dibuktikan menerusi sebuah batu bersurat yang ditemukan di kawasan masjid tersebut. Batu bersurat tersebut ditulis dalam bahasa Melayu dan menggunakan tulisan jawi, berbunyi:
“Hijrah Nabi SAW seribu dua ratus enam puluh lapan (1268) tahun kepada tahun H. Sehari bulan Zul Qo’idah, kepada hari Isnen dewasa itulah Encik Ya’qub orang Terengganu mewakafkan ia akan barang istrinya serta muwafaqoh ia akan segala warisnya, yaitu qur’an dan sawah satu tebih, di mertesari perolehan empat puluh sibak, didalam Masjid Jembrana Loloan ketika Pak Mahbubah jadi penghulu dan Bapak Mustika jadi pemekel, saksi khatib Bapak Abdulloh bin Yahya Al Qadri, khatib Bapak Abdul Hamid, itulah adanya.”
BATU bersurat tahun 1847 menggunakan bahasa Melayu dalam tulisan jawi tentang perakuan Muhammad Ya'qub yang mewakafkan hartanya kepada Masjid Jembrana. - Foto MetroPost Malaysia
Masjid Jembrana asalnya dibina oleh seorang Bugis bernama Mohammad Yasin, salah seorang daripada empat ulama besar dari Makassar, Sulawesi yang datang pada tahun 1679. Masjid itu dibina pada tahun 1679 sebagai lambang bertapaknya Islam di Jembrana. Masjid tersebut  kemudian dinamakan sebagai Masjid Agung Baitul Qadim pada tahun 1974.

Sementara itu, seorang ahli jawatankuasa Masjid Agung Baitul Qadim, Abdul Latif, 49, ketika ditemui berkata, masjid tersebut telah beberapa kali diubah suai dan diperbaiki sehingga ke hari ini.

SENASKHAH al-Quran bertulisan tangan peninggalan Muhammad Ya'qub. - Foto MetroPost  Malaysia
Beliau berkata, berbeza dengan Syarif Abdullah atau ulama-ulama  lain yang membawa Islam ke Jembrana, nama Muhammad Ya’qub lebih dominan kerana beliau meninggalkan legasinya iaitu barang-barang peninggalannya yang masih kekal sehingga ke hari ini.

Mengenai makam Muhammad Ya’qub, terdapat dua versi iaitu yang pertama terletak di kompleks Maqam Keramat Buyut Lebai, bersebelahan dengan makam Dawam Sirajuddin, yang berasal dari Sarawak dan datang ke Jembrana pada tahun 1653. 

Bagaimanapun, Abdul Latif berkata, agak mustahil Muhammad Ya’qub dikebumikan di kawasan tersebut memandangkan beliau adalah pengikut Syarif Abdullah  dan hidup dalam abad yang berbeza.

“Sebab itu terdapat satu lagi makan Muhammad Ya’qub yang terletak di bahagian belakang Masjid Agung Baitul Qadim, bersebelahan dengan makam Syarif Abdullah dan ramai yang percaya itulah makam sebenar beliau.

“Makam ini pada asalnya terletak di sebelah kanan masjid yang ditemukan pada tahun 1900-an ketika proses pembesaran masjid sebelum dialihkan ke belakang masjid ini,” katanya yang mendakwa ada membuat kajian mengenainya.
ABDUL LATIF menunjukkan beduk asal peninggalan Muhammad Ya'qub. - Foto MetroPost Malaysia
Di manapun letaknya makam Muhammad Ya’qub, ternyata kedatangan beliau ke Jembrana  membawa makna yang besar bukan sahaja kepada sejarah kedatangan Islam di Bali tetapi juga sejarah perkembangan Islam di Terengganu.

Kongsi di Google Plus

Perihal Lukman Ismail

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment