Selangor perluas hari tanpa beg plastik

ELIZABETH WONG (kiri) dan Mas Sakdah Kamaruzzaman ketika pelancaran kempen Selangor Bebas Plastik di Shah Alam, hari ini.
SHAH ALAM - Selangor memperluaskan kempen Hari Tanpa Beg Plastik di negeri ini daripada hanya setiap Sabtu kepada sepanjang minggu serta turut mengurangkan penggunaan polisterina mulai 1 Januari ini.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Elizabeth Wong, sehubungan dengan itu semua peniaga tidak lagi membekalkan beg plastik dan polisterina secara percuma kepada pelanggan mereka seperti sebelum ini.

Menurut beliau, para peniaga perlu mematuhi arahan tersebut memandangkan Undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah dikaji bagi pelaksanaan kempen tersebut.

"Diharapkan kempen ini akan membangkitkan reaksi positif kepada usaha kerajaan negeri untuk membawa perubahan terhadap gaya hidup masyarakat berkenaan dengan beg plastik dan polisterina.

"Kita perlu membuat perubahan dan kita komited kepada perubahan ini dengan melaksanakan polisi memerangi pembuangan sampah yang berleluasa dan menekankan isu alam sekitar seperti pemanasan global," katanya semasa pelancaran kempen Selangor Bebas Plastik di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Bahagian Pihak Berkuasa Tempatan) Unit Perancang Ekonomi Negeri, Mas Sakdah Kamaruzzaman.

Sebelum ini, pelanggan dikenakan caj 20 sen setiap beg plastik yang dibekalkan jika berbelanja pada setiap hari Sabtu.

Elizabeth berkata, semua majlis rasmi dan bangunan kerajaan Selangor telahpun menghentikan penggunaan beg plastik dan polisterina serta berharap mendapat sokongan masyarakat negeri ini.

"Perubahan hanya akan berlaku apabila setiap peringkat dalam masyarakat terlibat dalam usaha ini," katanya.

Beliau berkata, bagi menyokong pelaksanaan awam tentang perubahan gaya hidup ini, kerajaan negeri juga melancarkan laman sesawang pendidikan di mana orang ramai boleh berikrar menyokong bebas plastik dan menggalakkan peniaga, peruncit dan pembekal untuk mendaftar juga.
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment