Henti sengketa, bantu pulih bola sepak negara

Rakyat tidak mahu sengketa antara pihak pengurusan menambahkan lagi kemerosotan bola sepak negara. - Gambar hiasan
APA sudah jadi dengan pengurusan kelab-kelab bola sepak kita? Satu demi satu polemik dan isu muncul. Daripada isu penarikan diri pasukan menyertai Liga Malaysia lantaran kekurangan dana, sehinggalah isu pembayaran gaji pemain dan jurulatih.

Ranking terbaru FIFA semalam menunjukkan pasukan negara masih berada di tangga ke 161 dunia biarpun peminat bola sepak dunia masih lagi bercakap tentang jaringan tercantik dunia oleh Mohd. Faiz Subri yang membolehkannya menjulang Anugerah Puskas 2016 minggu lalu.

Kedudukan tidak berubah berbanding bulan sebelum ini setidak-tidaknya menunjukkan prestasi bola sepak negara sebenarnya masih ditakuk lama dan tiada sebarang perkembangan positif. Malahan kalau dilihat sejak 10 tahun terakhir ini bola sepak negara sudah jauh merosot malah sudah diatasi oleh negara kerdil seperti Timor Leste dan Nepal.

Walhal kalau dilihat sejarah bola sepak negara, Malaysia suatu ketika dahulu (tahun-tahun 1980-an) ada setanding dengan Korea Selatan, Arab Saudi, Kuwait dan Iran. Malahan Jepun sendiri belajar menguruskan liga bola sepaknya daripada Malaysia. Tetapi kini, Jepun sudah menjadi salah satu gergasi bola sepak di Asia.

Apa yang menyedihkan dalam keadaan bola sepak, sukan paling digemari rakyat, masih tidak menentu, para pemimpin FAM dan pengurusan negeri serta kelab tidak henti-henti bersengketa. Ada sahaja isu-isu yang tercetus yang saya percaya ia menjejaskan pengurusan pasukan di peringkat kelab, negeri sehinggalah skuad Harimau Malaysia.

Masalah yang membelengu Kelantan misalnya, tidak seharusnya berlaku jika semua pihak mengambil kira kepentingan bola sepak negeri. The Red Warriors (TRW) yang beberapa tahun dahulu meraih pelbagai kejayaan, kini hampir sahaja menarik diri daripada Liga Malaysia lantaran kekurangan dana.

Ini ekoran penarikan diri Dato Seri Vida daripada menaja TRW musim ini selepas berhabis sebanyak RM30 juta musim lalu. Walaupun alasan yang diberi kerana hasil jualan produk keluaran syarikatnya tidak seperti yang diharap daripada penajaan itu, namun ada suara-suara sumbang menyatakan kerana wang penajaan tidak diurus dengan baik sehingga menjejaskan pembayaran gaji para pemain.

Sengketa antara penaung TRW, Tan Sri Annuar Musa dengan FAM semakin ketara apabila Annuar secara terbuka mendakwa FAM berhutang dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sebanyak RM2 juta tetapi kemudian disangkal oleh FAM. Sebaliknya FAM pula mendakwa KAFA yang berhutang dengannya sebanyak RM430,000.

Tuduh menuduh antara KAFA dan FAM ini sudah tentu dipandang tidak elok dan menggusarkan para peminat bola sepak negara. Apa sudah jadi dengan pengurusan bola sepak kita? Apakah kerana penyerahan pengurusan liga kepada pihak swasta yang menyebabkan masalah seperti ini timbul? Yelah, bila pasukan bola sepak tidak lagi menerima geran daripada FAM, nak tak nak setiap pasukan terpaksa mencari dana sendiri.

Nak mengharapkan bayaran royalti daripada siaran langsung di TV sudah tentulah tidak mencukupi apatah lagi siaran langsung perlawanan kebanyakan dikuasai oleh pasukan-pasukan sama sahaja setiap minggu.

Itu belum lagi menyentuh soal pengurusan tertinggi pasukan dari selatan tanah air yang tidak henti-henti menyerang menteri, kelab-kelab dan pihak pengurusan pasukan lain seolah-olah mereka sahaja yang hebat selepas menjulang pelbagai trofi sejak beberapa tahun ini.

Ada individu yang hebat bercakap soal pengurusan bola sepak pula hanya berani di luang gelanggang tetapi apabila diminta untuk menjadi pemimpin tertinggi FAM pelbagai alasan diberikan. Kalau benar hebatnya sehingga berjaya mengubah sebuah pasukan yang hidup segan mati tak mahu kepada juara kelab Asia, kenapa ilmu yang dimiliki tidak mahu diperluangkan kepada pasukan negara?

Kenapa harus bertempik dan menghentam apa sahaja usaha yang dibuat orang lain, sedangkan diri sendiri tidak berani untuk menerajui pengurusan bola sepak negara.

Pendek kata, bola sepak negara tidak putus-putus dengan pelbagai isu sedangkan pasukan bola sepak kita masih kekal seperti sebelum ini. Tiada perkembangan positif sama sekali biarpun entah berapa ramai sudah pertukaran pengurus dan jurulatih pasukan dibuat.

Jadi, hentikanlah segala sengketa wahai pengurusan bola sepak di negara ini. Andai sudah buntu untuk berfikir, serahkanlah kepada orang lain yang lebih muda dan mempunyai idea-idea yang lebih baik untuk membaik pulih bola sepak kita.

Apa yang penting sekarang ialah mengembalikan kegemilangan bola sepak negara.
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment