"Kami perlukan pendedahan di Eropah" - Kapten hoki wanita


KUALA LUMPUR -  Pengalaman beraksi di Eropah sangat diperlukan skuad hoki negara jika berhasrat mencipta kejayaan pada saingan Separuh Akhir Liga Hoki Wanita Dunia (WHWL) pada Jun dan Julai ini.

Ketua pasukan, Siti Noor Amarina Ruhani berkata skuad negara perlu lebih kerap didedahkan dengan situasi perlawanan sebenar menentang pasukan gergasi Eropah jika berhasrat menyaingi mereka pada pusingan Separuh Akhir WHWL nanti.

Beliau menjelaskan melalui pendedahan seperti itu, mutu permainan dapat ditingkatkan selain memperbaiki kelemahan pasukan, sekali gus menjadikan skuad tersebut lebih matang.

"Sejujurnya kami perlukan lebih banyak lagi pendedahan menentang mereka (pasukan gergasi Eropah) untuk mengenal pasti kelemahan dan memperbaiki mutu permainan bagi menghadapi saingan Pusingan Separuh Akhir nanti.

"Pasukan seperti Ireland dan Itali bermain menggunakan kelebihan fizikal, jadi peluang bermain dengan pasukan seperti itu dengan lebih kerap akan menjadikan kami lebih bersedia pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas final Pusingan Kedua WHWL, yang menyaksikan Ireland menewaskan Malaysia 3-0 di Stadium Hoki Tun Razak di sini, malam tadi.

Skuad hoki negara yang menghuni ranking ke-21 dunia, mencipta sejarah apabila buat julung kali mara ke pusingan Separuh Akhir WHWL selepas menewaskan Itali 2-1 dalam penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi separuh akhir kelmarin.

Namun impian skuad kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah itu untuk terus mencipta sejarah musnah selepas tewas kepada Ireland 0-3 pada aksi final semalam. - BERNAMA
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment