Siapa paling layak teraju FAM?


KUALA LUMPUR - Siapa paling layak menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)?

Itu persoalan yang timbul dalam kalangan peminat dan penyokong bola sepak negara apabila Tengku Mahkota Johor yang juga Penaung Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan untuk bertanding merebut jawatan Presiden FAM bulan depan.

Turut mengesahkan pencalonannya ialah bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa biarpun sedang berdepan dengan soal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penajaan Pelaburan MARA dan UNIKL ke atas pasukan Kelantan.

Annuar berkata, beliau telah menghantar borang pencalonan di pejabat persatuan itu, semalam.

"Saya telah berjumpa dengan Setiausaha Agung FAM dan dia cakap tiada siapa yang mahu bertanding. Jadi saya takut tiada presiden. Lagipun sesiapa sahaja mempunyai hak untuk bertanding," katanya.

Semalam, Tunku Ismail menyatakan kesediaannya untuk bertanding merebut kerusi panas itu setelah mendapat restu daripada ayahanda beliau, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Annuar sebelum ini pernah menyatakan sekiranya Tunku Ismail bersetuju untuk bertanding jawatan presiden, maka beliau sedia berundur bagi memberi laluan kepada pemilik kelab JDT itu.

Bagaimanapun, perkara itu tidak berlaku apabila beliau tetap meneruskan niatnya, sekalipun TMJ telahpun mengesahkan akan bertanding.

Dua lagi calon yang tidak kurang hebat ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta Tan Sri Aseh Che Mat. Bagaimanapun kedua-duanya belum mengesahkan menghantar borang pencalonan.
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment