TMJ sasar kelab Eropah, bukan FAM


KUALA LUMPUR  - Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak berhasrat untuk menerima pencalonan sebagai Presiden FAM sebaliknya pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) lebih berminat untuk membelia kelab bola sepak luar negara, terutama Eropah.

Tunku Ismail juga secara sinis berkata, jika beliau bertanding merebut kerusi panas itu belum tentu dapat menang kerana perlu bersaing dengan orang politik iaitu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang turut menerima pencalonan.

“Saya mana ada peluang nak lawan orang politik. Saya datang dari negeri kecil dan jaga kelab kecil. Buat masa ini tidak terfikir (menerima pencalonan) lagi kerana saya bekerja keras untuk beli sebuah kelab luar negara, kemungkinan di Eropah,” kata beliau dalam satu temubual yang disiarkan di Facebook Southern Tigers hari ini.

Selain Tunku Ismail, Khairy dan Annuar seorang lagi calon yang dikatakan proksi kepada Tengku Mahkota Johor itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat.

Bagaimanapun, setakat hari ini hanya Annuar mengesahkan untuk bertanding jawatan tersebut apabila secara rasmi menghantar borang pengesahan pencalonan.

Semua calon perlu mengesahkan pencalonan mereka selewat-lewatnya Isnin depan.

Tunku Ismail sebelum ini pernah ber­tanding kerusi tertinggi FAM itu dalam pemilihan tiga tahun lalu tetapi tewas kepada Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah

Tengku Abdullah bagaima­napun mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan dalam pemilihan kali ini bagi memberi laluan kepada muka baharu bagi memberi idea yang lebih segar buat bola sepak tempatan. - MPM
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment