Tular paracetamol mengandungi virus Machupo palsu

Dakwaan paracetamol mengandungi virus Machupo yang menjadi tular di media sosial.
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa dakwaan paracetamol P/500 berwarna putih mengandungi virus Machupo seperti tular di media sosial sejak seminggu lalu adalah tidak benar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, produk P/500 (Aeknil) tablet berwarna putih yang ditularkan itu tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia  dan berbeza dengan produk Aeknil Tablets yang didaftarkan di negara ini.

Beliau berkata, produk Aeknil Tablet yang berdaftar dengan pihaknya mengandungi bahan aktif paracetamol 500mg dengan nombor pendaftaran MAL19911249XZ untuk indikasi “For the relief of mild to moderate pain and reduce fever”.

"Kami  juga tidak menerima sebarang laporan alert berkenaan pencemaran paracetamol dari pihak berkuasa negara pengilang atau negara-negara lain setakat ini," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Virus “Machupo” dikelaskan dalam kumpulan virus Arenavirus yang boleh menyebabkan demam berdarah.

Buat masa ini, virus berkenaan hanya ditemui di Amerika Selatan dan tersebar melalui air kencing atau najis tikus yang telah dijangkiti.

Noor Hisham berkata, seperti kebanyakan virus yang lain, virus Machupo juga tidak boleh hidup dalam persekitaran yang kering seperti tablet paracetamol.

"Orang awam dinasihatkan supaya tidak mempercayai berita atau mesej yang belum tentu kesahihannya.

"Orang ramai diminta untuk memastikan produk yang diguna adalah produk berdaftar di mana ia mempunyai pelekat hologram dan dilabel dengan nombor pendaftaran MAL," katanya.

Beliau berkata, semakan status pendaftaran sesuatu produk boleh dibuat melalui laman sesawang https://npra.moh.gov.my atau menghubungi NPRA di talian 03-78835400. - MPM
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment