5 warga Indonesia rentung dalam kebakaran empat rumah


SUNGAI PETANI - Lima warga Indonesia rentung manakala seorang lagi melecur 70 peratus dalam kebakaran empat buah rumah di Taman Petani Jaya di sini, awal pagi tadi.

Kebakaran berlaku kira-kira jam 4 pagi di Kampung Baru Sungai Gelugor membabitkan sederet empat rumah papan yang didiami lebih 20 penghuni.

Berdasarkan maklumat,  mangsa yang ditemukan rentung terdiri empat lelaki dan seorang wanita dipercayai warganegara Indonesia.

Mayat wanita ditemui di hadapan pintu salah sebuah rumah yang rentung manakala empat ahli keluarganya yang lain ditemui rentung di dalam bilik.

Mangsa yang melecur pula berjaya diselamatkan orang ramai selepas keluar dari rumah.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Kedah, Mazukhi Shaffie berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 4.11 pagi, sebelum tiga jentera dan dua EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dan Tikam Batu dikejarkan ke lokasi bersama 20 pegawai dan anggota.

Katanya, pihaknya mengambil masa 12 minit untuk mengawal api dari merebak ke rumah yang lain dan api dapat dipadam sepenuhnya setengah jam kemudian.

"Setakat ini lima mangsa disahkan rentung dan seorang melecur dan kita masih melakukan pemeriksaan di lokasi untuk mengenal pasti punca kejadian," katanya. - MPM
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment