Chong Wei hantar bantuan kepada mangsa banjir


KUALA LUMPUR - Dalam kesibukannya menjalani latihan dan persediaan untuk menyertai kejohanan, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei sempat menguruskan bantuan untuk mangsa banjir di Pulau Pinang.

Beliau menghantar dua lori sarat berisi makanan, sebahagian besarnya biskut, dan 100 biji bantal untuk diserahkan kepada mangsa banjir di negeri itu.

"Walaupun saya tidak dapat ke sana bersama-sama mereka (mangsa banjir), tapi saya tolong mana yang boleh untuk bantu mangsa banjir di sana.

"Saya ada menerima mesej memaklumkan keperluan mangsa banjir yang masih belum cukup, dan saya hantar sedikit bantuan," katanya ketika ditemui Bernama di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini.

Pemain berusia 35 tahun, berasal dari Bukit Mertajam Pulau Pinang itu, berharap bantuan yang dihulur dapat mengurangkan beban mangsa banjir.

Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 dan 1 meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak Sabtu.

Hingga kini, kejadian banjir yang dikatakan terburuk di negeri itu telah meragut tujuh nyawa. - BERNAMA
Kongsi di Google Plus

Perihal MetroPost Malaysia

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment