Indah Ruhaila bergelar isteri ahli perniagaan - MetroPost Malaysia
Indah Ruhaila bergelar isteri ahli perniagaan

Indah Ruhaila bergelar isteri ahli perniagaan

Share This

PENYANYI Indah Ruhaila selamat diijabkabulkan dengan lelaki pilihannya, Shariff Taufik, 36, yang juga seorang ahli perniagaan hari ini.

Pada majlis tertutup itu di One City, Petaling Jaya, Indah menerima mas kahwin RM1,000 beserta lima dulang hantaran daripada pihak lelaki sementara Indah membalas dengan tujuh dulang.

Bagaimanapun, wang hantaran dirahsiakan.

Indah berkata, dia lega segala perancangan yang diatur sejak lebih sebulan lalu dipermudahkan Allah.

“Kalau nak tahu, persiapan majlis dibuat dalam tempoh singkat iaitu kurang dua bulan. Perancangan nak nikah sudah lama, tetapi belum ada sebarang tarikh ditetapkan. Jadi, kami pun belum buat persiapan.

“Namun, selepas keluarga pihak lelaki datang berjumpa pada September mereka kalau boleh inginkan majlis berlangsung pada Disember.

“Memandangkan ketika itu saya terbabit dalam program AF Megastar, jadi segala persiapan belum dibuat. Alhamdulillah, apabila majlis sudah dekat, Allah permudahkan semuanya. Saya sangat bersyukur apabila majlis pagi tadi berjalan lancar,” katanya.

Menurut Indah, dia dan suaminya berkenalan lebih kurang enam bulan sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.

“Saya anggap ini adalah jodoh. Siapa saya untuk menidakkan ketentuan Allah. Macam saya pernah katakan sebelum ini, saya tak menolak jodoh dengan yang datang.

“Episod duka sebelum ini adalah satu dugaan untuk saya yang mana Allah nak gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Saya berharap, perkahwinan ini diberkati dan berkekalan sehingga ke akhir hayat,” katanya.

Ditanya mengenai identiti suaminya, Indah berkata cukup sekadar orang ramai mengetahui dia ahli perniagaan.

“Takkan semua perkara nak dikongsikan? Jadi, saya harap semua orang faham,” katanya ringkas.

Majlis resepsi membabitkan kedua-dua pihak akan diadakan malam ini. Tetamu dianggarkan 300 orang terdiri daripada kaum keluarga dan rakan terdekat.

“Saya memang kalau boleh nak buat majlis ringkas dan sederhana saja. Saya minta maaf kepada rakan media kerana tidak menjemput anda bersama meraikan majlis kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment