Remaja buang bayi dipercayai dirogol bapa tiri - MetroPost Malaysia
Remaja buang bayi dipercayai dirogol bapa tiri

Remaja buang bayi dipercayai dirogol bapa tiri

Share This

BINTULU: Remaja perempuan ditahan polis selepas membuang bayi lelaki yang dilahirkan di dalam tong sampah di depan rumahnya di Tanjung Kidurong, di sini Jumaat lalu.

Suspek berusia 15 tahun itu ditahan di Hospital Bintulu pada 9.30 malam ketika menerima rawatan selepas mengalami pendarahan teruk.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, kejadian tidak diketahui keluarga suspek sehingga kakak angkatnya terkejut selepas mendapati remaja terbabit dalam keadaan lemah selain berlaku pendarahan pada 9 pagi hari yang sama.

Menurutnya, terkejut dengan keadaan suspek yang lemah, dia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut namun doktor mengesyaki remaja terbabit baru melahirkan anak.

"Selepas didesak, suspek akhirnya mengaku melahirkan bayi lelaki di dalam bilik air rumahnya itu ketika berseorangan menyebabkan kejadian tidak diketahui ahli keluarganya.

"Bimbang kelahiran bayi itu diketahui keluarga angkatnya, suspek kemudiannya membungkus bayi yang masih hidup itu dengan kain dan memotong tali pusat sebelum membuangnya di dalam tong sampah di depan rumah," katanya.

Zulkipli berkata, siasatan lanjut polis kemudiannya mendedahkan suspek mengandung dipercayai kerana dirogol bapa tirinya yang juga warga Indonesia berusia 50 tahun.

Katanya, suspek mendakwa sudah menjadi mangsa rogol bapa tirinya itu sejak berusia sembilan tahun namun perbuatan terkutuk itu tidak diceritakan kepada ahli keluarga yang lain.

"Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan mayat bayi dibawa ke Hospital Bintulu untuk bedah siasat," katanya.
Sementara itu, polis masih mengesan bapa tiri suspek, katanya.

No comments:

Post a Comment