Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad meninggal dunia - MetroPost Malaysia
Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad meninggal dunia

Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad meninggal dunia

Share This


KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad meninggal dunia di Hospital KPJ Kajang, kira-kira jam 8 pagi ini.

Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Saifullizan Yahaya, berkata beliau dimaklumkan oleh anak Allahyarham, Asrul Sani.

Shahnon, 84, meninggal dunia akibat pneumonia, meninggalkan seorang isteri Datin Wan Fatimah Wan Salleh, 82, tiga anak berumur antara 54 hingga 58 tahun, 14 cucu serta tiga cicit.

Allahyarham yang terkenal dengan karya seperti 'Ranjau Sepanjang Jalan', juga pernah membuat kejutan dalam dunia politik tanah air apabila memenangi kerusi Parlimen Sik atas tiket Pas pada piliran raya umum 1999.

Beliau menewaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Dr Abdul Hamid Othman dengan kelebihan 478 undi. Beliau menjadi Anggota Parlimen Sik bagi tempoh 1999 hingga 2004.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Terima berita sedih Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad telah kembali ke rahmatullah pagi tadi. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah," kata Najib menerusi akaun Twitternya.

Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bandar Baru Bangi di sini selepas solat Zuhur.

Sementara itu, anak  sulungnya, Norhayati, 58, berkata, Allahyarham sepatutnya pulang ke rumah hari ini setelah dimasukkan ke hospital empat hari lepas.

"Arwah bapa dimasukkan ke hospital setelah mengalami batuk dan hasil pemeriksaan mendapati beliau menghidap pneumonia," katanya.

Mereka sekeluarga pada awalnya berasa gembira kerana pihak hospital membenarkan  bapanya pulang ke rumah, namun terkejut menerima berita kematian Shahnon.

No comments:

Post a Comment